Wednesday, July 25, 2012

Jom berkongsi rezeki Allah...

 Salam ramadhan semua...


 Chewah aku kan..bulan2 ramadhan ni cam bagus je nak jadi ustazah konon kan...ala-ala nak bagi tazkirah kat orang lah ni kan...ha ha ha..idoklah ye..sebenarnya...aku nak cite, pagi tadi aku bukak email non-official aku akan aku terima email ni...


baca punya baca punya baca...waaahhh meleleh jugaklah air mata kan...insaf aku kejap...aku ni bukanlah berasal dari keluarga orang senang, dulu abah sorang aje kerja...mama aku surirumah yang tak macam suri rumah jugaklah sebab suka berniaga...dulu masa kitaorang duduk kat kem askar kat kuching tahun 80an...mak aku meniaga gerai makanan dalam kem askar tu tima posa...so aku and adik2 akan berbuka posa lauk mak aku berjual and kitaorg bukak posa tanpa mak ayah tau sebab mak ayah bukak posa kat gerai..lepas berbuka baru depa balik umah..so pandai2 lah aku yang time tu baru darjah 2 handlekan adik2..tapi jiran2 kami banyak yang datang jengok kami..dulu time duduk kat kem askar, memang rapat dengan makcik2 jiran2 kami...lagipun kebanyakannya memang merantau dari semenanjung lah...


masa itu...hidup tidak mewah..time tu baju baru cuma waktu hari raya aje and bila bukak sekolah (dapatlah baju sekolah baru and kasut baru)...tapi tulah, kadang2 aku ni tersempit dalam dunia aku sendiri kot..aku rasa aku ni dah susahlah sangat sebab bila aku dapat no.1, ayah aku cuma hadiahkan aku pensil picit (mechanical pencil) aje sedangkan budak lelaki yang dapat no.2 tu, ayah dia hadiahkan basikal BMX..tapi ayah dia pegawai besarlah..he he he...tapi aku tau mak ayah aku sentiasa cuba memberi yang terbaik pada kami...


now bila aku dah berkembang besar sikit kan..dah tengok kehidupan dunia yang lebih luas kan...aku rasa ehhh teruknya aku dulu kan...kira oklah tu aku dapat makan sugar bun (ala-ala KFC kat Kuching dulu) bila ayah aku gaji kan..kira oklah aku ni duduk umah batu jugak (kuarters askar)..adalah kereta walau kecik aje pun...sebab ada kawan kelas aku dulu yang berjalan kaki ke sekolah...duduk kat pondok aje...bawak bekal air kosong aje...cuma nasib baiklah kitaorang dulu kira budak baiklah...sebab sanggup share bekal dengan dia..tapi masa tu, kita budak2 lagi kan...takdelah mikir camne nak tolong dia dengan lebih total...sekadar share makan minum and bagi baju sekolah yang kita tak pakai dah kat dia ajelah...


tapi itu cerita tahun 80an dulu..di sarawak...rupanya...now di abad ke 21, yang mana manusia dah berboleh bercakap tengok muka masing2 walau duduk berribu batu...dengan segala macam benda canggih manggih ni..rupanye kemiskinan masih ada di bumi Malaysia ini...cuma aku ni tak nampak (nampak jugak tapi tak banyak) or aku tak de usaha nak mencari kat  celah-celah mana kemiskinan itu berada..tiba-tiba aku rasa malu kat diri sendiri...


and bila aku baca blog NGO ni...aku rasa kerdil sangat...sebab depa ni sanggup masuk kampung, pinggir bandar, celah2 bangunan..mencari insan yang tidak bernasib baik ini...mulia sungguh hati mereka kan...korang boleh baca kisah2 meruntun jiwa ni kat blog ni ...http://www.moniermatdin.blogspot.com/


and bila baca kisah penulis email yang aku terima ni...yelah, betul cam penulis ni kata, dia merasai kemanisan/keperitan miskin itu...and sebab tu dia faham apa erti kemiskinan itu...dulu aku ingat aku miskin sebab tak dapat basikal BMX  tapi sebenarnya aku ni cukup bernasib baik dah hahh....rupanye ada yang sampai menitiskan air mata utk wang rm50 yang kadang2 kita sekali makan KFC pun dah habis rm50 tuh...


and since aku tengah dalam keteharuan membaca kisah2 di celah2 masyarakat kita ini...aku nak sharelah jugak dengan korang...mana tau, ada yang lebih rezeki, bolehlah kita share-share dengan mereka kan..


and jangan lupa bayar zakat ye...ingat Dalam setiap rezeki si Kaya, ada Hak si miskin yang perlu kita tunaikan...


selamat berposa ye...


 ni email yang aku terima tuh...


From: Wahab
To: warga_kilang@yahoogroups.com
Sent: Wednesday, July 25, 2012 8:52 AM
Subject: [warga_kilang] WARGAKILANG: Bantuan Ramadhan di Terengganu


Salam semua,
kalau ada sahabat2 yg nak menyumbang dlm JJMK Terengganu pada 28hb, boleh hubungi saya secara peribadi, JJMK utara adalah pada 4hb ogos.
Wassalam
Wahab.
____________________________________________________________________________________________________________________

WARGAKILANG: Bantuan Ramadhan di Terengganu


Baru-baru ini saya ada terdengar tazkirah seorang Ustaz yang memetik kata-kata Orang Alim, katanya: Kalau Allah SWT hendak memberi kebaikan kepada seseorang itu, tambah-tambah pula di bulan ramadhan ini, maka Allah SWT akan jadikan orang itu sibuk dengan urusan/kerjabuat untuk memberi kebaikan kepada orang lain. Maksudnya, sibuk dengan kerja-kerja amal dan kebajikan.

Sebab itu, bila ada seorang sahabat dari Terengganu hantar email ajak Jalan-Jalan Masuk Kg bagi sumbangan kepada orang-orang miskin di sana; walau pun ambik masa 7 jam perjalanan dari Kedah ke Tganu, tapi sebab dok ingatkan tazkirah Ustaz tadi, saya gagahkan juga diri untuk turun ke Kemaman, Terangganu hari Sabtu 28 Julai ini. Mudah-mudahan ada kebaikannya menanti di sana.

Sebut pasal Kemaman, kalau kita google Internet bab Isu Kemiskinan di Malaysia, Daerah Kemaman sama naiknya dengan Baling, daerah kelahiran saya di Kedah sana. Kedua-dua daerah ini termasuk dalam kawasan kajian awal kemiskinan di Malaysia oleh Prof Diraja Ungku Aziz di sekitar tahun 60an dulu.

Secara kebetulan orang rumah saya orang Kemaman, lahir dan dibesarkan dalam keluarga Nelayan yang serba kekurangan. Maka bila anak Penoreh Getah dari Baling Kedah bertemu jodoh dengan anak Nelayan dari Kemaman, Terengganu; kisah kemiskinan terus menjadi sebahagian daripada sejarah keturunan kami.

Mungkin kerana kami berdua pernah hidup dalam kemiskinan agaknya, maka bila ada kawan ajak turun padang bantu orang miskin, mudah saja kami berbuat demikian.
(Rumah pusaka arwah mak/pak mertua saya di Kemaman – tidak ada lagi adik beradik yang tinggal di sini setelah masing-masing berkeluarga)

Semua sekali, insyaallah ada 20 buah keluarga miskin yang bakal menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka menempuh saki baki baki Ramadhan yang tinggal.
(Melihat gambar anak kecil ini mengingatkan isteri saya dirinya sewaktu kanak-kanak tatkala menanti kepulangan arwah ayahnya dari laut - entah kan pulang entah kan tidak!)
(Dua anak kecil ini girang bermain di sebalik kain langsir yang sudah luntur di rumah papan berdinding kayu plywood usang)

Ibunya hanya bergantung kepada upah siang ikan sekilo 60 sen untuk makan minum mereka sehari-hari. Bayangkan kalau nak beli beras 10kilo RM25, kena siang 40 kilo ikan!! – orang macam mereka ini, kalau ada orang boleh bagi beras, pasti amat-amat menghargainya.

Ini pula adalah rumah typical kaum Nelayan di Kuala Kemaman, insyaallah antara yang tersenarai dalam list penerima sumbangan nanti.
 (Rumah berbumbung dan berdinding Zink Usang dihadang dengan kain/kanvas)
 (Lantai rumah serupa sahaja luar dan dalam)
(Menunggu masa menyembah bumi)

Makcik Tua ini pula terkejut dengan kunjungan sahabat kami sewaktu Team NGO Wargakilang Pantai Timur masuk ke kg-kg di Kuala Kemaman mengenal pasti keluarga yang layak menerima bantuan.

Menurut sahabat kami, keluarga di bawah ini adalah yang paling daif antara semua. Ayah bekerja tidak menentu, anak-anak 4 orang. Si kecil ini OKU. Ibunya pula walau pun baru 40an tapi raut wajah nampak macam orang berusia 60n, mungkin kurang zat makanan agaknya.

Keluarga ini tinggal di sebuah rumah kedai zaman dulu-dulu, amat usang seperti sebuah gudang lama, tak sangka ada orang boleh tinggal dalam gudang macam ini, dengan lantai simen lama sudah nipis hampir menyamai lantai tanah. Insyaallah kami akan ke sana nanti.

Akhir sekali adalah dalam gambar seorang Ibu Tunggal anak 5; bila tengok gambar dia, terus saya teringatkan kisah seorang Ibu Tunggal di Baling, Kedah bernama Kak Mazni yang pernah kami bantu suatu ketika dulu.

Apa tidaknya, sampai mati pun saya tak akan lupakan Kak Mazni – beliau menangis teresak esak bila saya hulurkan Duit Note RM50. Dia kata, “Terima kasih lah adik, terima kasih banyak-banyak (sambil menangis tersedu-sedu), orang ingat kakak ni senang, kakak ada duit, walhal anak-anak kakak pergi sekolah tak makan apa, tak bawa duit…”

Sungguh saya tak sangka RM50 itu bagi sesetengah orang cuma untuk sekali bubuh minyak kereta saja, tapi bagi Kak Mazni besar nilainya.

Macam itu juga dengan Kakak dalam gambar di bawah ini, cuti Raya Cina 2012 yang lalu, kami ada singgah di rumah beliau bagi sumbangan beras gula kopi serba sikit. Bila dia dapat beras sekampit pertama yang kawan-kawan bawa turun dari kereta saya tu, terus Kakak ini cakap:

“ALHAMDULILLAH – HARI INI DAPAT LAH MAKAN NASI”

Bila kami longgokkan brg2 lain sampai bertimbun-timbun kat pelantar rumah dia, kakak ini tak habis-habis mengucapkan TIMA KASIH TIMA KASIH berulang-ulang kali; dia tak tau nak kata apa sampai merah mata dia bergenang dgn air mata, menangis tanda berterima kasih bersyukur tak terkira.

Tak sangka - ada orang menangis bila dapat beras!

Tanpa ditanya, kakak ini terus mengadu kat kami, dia kata dia ada 5 orang anak-anak yg masih bersekolah yg perlu disara. Tiap-tiap pagi bila bangun tidur, dia kena fikir macam mana nak dapatkan RM15 untuk hari itu supaya anak-anaknya ada makanan untuk dimakan. Kadang2 dia amik upah siang ikan keropok (60 sen sekilo isi ikan), kdg2 ambik upah kemas rumah orang dan apa saja pekerjaan halal untuk dapat RM15 itu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Walaupun kalian semua tidak mengenali kakak ini dan juga watak-watak lain dalam coretan saya ini, tapi percayalah mereka semua adalah SANAK SAUDARA kita, yang dihubungkan secara ghaib melalui kalimah SYAHADAH yang ada di dada-dada kita.

Maka itu, kalau ada masa, mai lah join team kami, NGO WARGAKILANG yang baru belajar nak bertapak di Pantai Timur ini – maghi lah bersama sama kami berkumpul di parking lot Masjid Geliga, Kemaman seawal jam 8.00 pagi, Sabtu 28 Julai 2012. Bawalah apa yang ada, insyaallah jika diizinNya kita akan membawa sumbangan untuk 20 keluarga.

Moga kerja buat kita untuk memberi kebaikan kepada orang lain ini akan dicatakan sebagai pahala kebaikan daripada Allah SWT untuk kita semua. Terima Kasih

moniermatdin@yahoo.com
24.7.12
http://www.moniermatdin.blogspot.com/
 

4 comments:

Anonymous said...

Sweet Marie,memang betui apa yang di katakan pada n3 kali ni memang tepat and masa yang sesuai untuk di pamirkan di blog...ni ada sikit dari Uncle..SALAH satu amalan yang digalakkan untuk dilaksanakan dalam bulan Ramadan ini ialah amalan bersedekah, menderma, berwakaf atau menolong orang lain sama ada secara individu, membantu organisasi atau membantu pihak yang memerlukan bantuan khususnya dalam bentuk wang, harta benda ataupun perkhidmatan.
Istilah yang digunakan untuk amalan ini, khususnya dalam bulan Ramadan dipanggil amalan “al-jud”. “Al-jud” adalah perkataan bahasa Arab dan secara literal ia bermakna banyak pemberian, banyak bersedekah dan banyak berehsan kepada fakir miskin di bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya amalan “jud” ini salah satu amalan dan ibadat yang dituntut dan ia telah menjadi amalan Rasulullah sepanjang bulan Ramadan kerana amalan ini akan mendapat ganjaran dan rahmat daripada Allah dengan ganjaran yang besar. Ini jelas seperti hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dari Saad bin Abi Waqash, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah sangat banyak pemberiannya, menyukai banyak pemberian, lagi Maha Pemurah, menyukai kemurahan tangan hamba-hamba-Nya.”
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, barangkali kita mempunyai sedikit sebanyak kemewahan harta, wang ringgit atau mampu menyumbangkan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu kepada golongan-golongan yang memerlukan. Amalan atau sikap seperti ini amatlah dituntut sekali dalam Islam.Uncle ucapkan selamat berpuasa dan teruskan perjuangan yang masih belum selesai.salam dari Uncle AL.

Anonymous said...

Salam Marie, tahniah Allah beri kesempatan utk puan berkongsi perkara yang baik ini. Insan yang lebih disukai Allah tentulah insan yang ada pilihan utk bersedekah atau tidak tetapi memilih bersedekah berbanding orang yang terpaksa bersedekah. Jika mampu mengikuti atau menyumbang bersama badan-badan NGO tersebut, alhamdulillah. Selain itu, sebenarnya ada ramai insan di sekeliling kita yang benar-benar mengharapkan sumbangan di bulan Ramadhan ini. Paling mudah, puan boleh ke sekolah anak puan dan berjumpa Guru Hal Ehwal Murid,minta senarai murid miskin atau anak yatim. Ramai boleh ditemui dan mereka ini sendiri ada cerita yang juga memilukan.Marilah kita sama-sama rebut pahala bersedekah di bulan mulia ini. Belikan bahan mentah dan hantar ke rumah anak yatim: pahala yang berganda, bersedekah dan memberi makan bagi orang yang berpuasa. Subhanallah, besarnya nikmat yang akan dirasai...

marie said...

Salam Uncle Al..terima kasih atas nasihat ini..yelah, betul cam uncle kata bulan posa ni kita kenalah banyak2 kan bersedekah..lagipun ia adalah amalan nabi kan....insyallah, ada rezeki lebih, saya share-share dengan yang lebih memerlukan...:)

marie said...

Salam Anony...terima kasih sudi masuk pondok saya nih and terima kasih sekali lagi for the idea...betul kata u, that is one way utk beramal and bila kita dpat tolong kawan anak2 kita, harap2 ia dapat mengajar anak2 kita something jugak kan...semalam i terus tanya anak2 i kalau depa ada kawan2 orang susah..yelah, kot boleh menolong depa kan...terima kasih ye..:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...